http://www.facebook.com/media/set/?set=a.280780901937297.87996.100000161676987&type=3&l=195cbbe8c1

Monday 6 August 2012

Isu Pendidikan

   Di antara profesion yang mulia di sisi Allah dan juga masyarakat ialah guru.  Kerana guru mewarisi tugas para nabi dan rasul untuk mendidik masyarakat.  Guru mengajar masyarakat menjadi pandai dan berilmu, disamping itu mendidik anak-anak didik menjadi insan yang baik dan mampu berjasa kepada keluarga dan masyarakatnya.
            Dengan demikian,  kita haruslah berterima kasih kepada mereka, kerena jasa merekalah, maka kita hari ini pandai menulis, membaca dan mengira.  Dalam masa yang sama, kita juga patut bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana memasukkan ilmu ke dalam dada kita dengan perantaraan para guru.  Ayat 3 hingga 5 surah al-`Alaq sudah cukup terang dan jalas mengenai perkara ini.
            Nabi dan rasul diutuskan oleh Allah sebagai guru untuk mengajar manusia dengan ilmu yang benar, iaitu ilmu yang Allah wahyukan kepada mereka.  Mereka mengajar ilmu tentang ketuhanan, tentang perkara yang baik dan buruk, mereka mengajak manusia melakukan perkara yang baik dan meninggalkan yang buruk.  Mereka mengajar manusia supaya ingat bahawa hidup di dunia ini hanya sementara sahaja.  Semua akan mati dan kemudian akan dihidupkan semula untuk diberi balasan terhadap perbuatan mereka semasa hidup di dunia.
            Guru-guru pun demikian juga.  Mereka mengajar manusia supaya pandai membaca dan menulis.  Mengenal Tuhan, faham maksud adanya semua benda yang dapat dilihat, faham tingkah laku yang baik dan yang buruk.  Mengajar manusia supaya mereka dapat menjalani hidup dengan kerjaya masing-masing dan mendapat keredaan Allah s.w.t.  Mengajar manusia supaya menjadi insan yang berguna kepada keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.  Melihat kepada aspek-aspek inilah dikatakan guru mewarisi tugas para nabi.
            Dewasa ini tidak semua guru dapat menjalankan tugasnya seperti   contoh yang tersenarai di atas.   Ramai guru yang tidak dapat menunjukkan akhlak yang baik kepada muridnya.  Terdapat sebahagian kecil yang tidak mampu mendidik dan menjadi contoh yang baik kepada murid atau pelajarnya supaya mesreka juga menjadi insan yang baik dan mulia mengikut perspektif Islam.
            Guru memainkan peranan yang besar dalam pendidikan ummah.  Justeru itu guru harus mempunyai sifat-sifat pemimpin yang baik.  Guru juga adalah pendidik, kaunselor, pendakwah, ikutan dan pemimpin.   Semua tugas ini dijalankan secara serentak dan memerlukan kemahiran dan pengalaman dalam bidang tersebut.
            Oleh kerana guru tidak memiliki pengalaman dan kemahiran dalan bidang-bidang berkenaan, maka mereka tidak dapat menjalankan tugas dengan lebih baik dan sempurna.  Harus difahami bahawa setiap guru Islam bertanggungjawab dengan Allah Taala untuk mendidik muridnya menjadi insan muslim yang dapat menjalani hidupnya sebagai seoragn muslim yang sejati.
            Justeru itu, setiap guru muslim mestilah seorang yang sentiasa taat perintah Allah serta menjauhi larangannya.  Guru yang meninggalkan solat lima waktu, yang suka berjudi, menipu, tidak menutup aurat dan sebagainya, maka mereka tidaklah menjadi uswah dan qudwah (contoh & kepimpinan) yang patut diikut.  Malah mereka tidak layak menjadi guru untuk mendidik anak-anak orang Islam.
            Guru yang tidak dapat mengawal nafsu dan bertindak mengikut perasaan juga tidak layak menjadi guru, kerena dirinya tidak stabil, jadi bagaimana mungkin mereka hendak mendidik orang supaya stabil.  Kerana adanya guru yang berperibadi demikian, maka ia melahirkan pelajar yang berperibadi demikian juga.
            Kita sering melihat laporan akhbar dan mendengar berita radio dan TV tentang salah laku di kalangan pelajar sekolah menengah, dan ini sedikit sebanyak ada hubungan dengan peribadi guru.  Kita tidak dapat hendak menafikan seratus peratus walaupun kita tidak menerima seratus peratus maksud daripada pepatah Melayu lama; ”Kalau guru kencing berdiri anak murid kencing berlari”, kerana ini ada kebenarannya.
            Dalam hal ini. pada hemat penulis, ada dua perkara yang mungkin boleh dibuat alasan.  Pertama kerana sikap dan personaliti guru itu sendiri, dan kedua kerana guru tidak dapat mendisiplinkan pelajar sebab diganggu oleh ibu bapa sebab ada ibu bapa yang suka masuk campur dalam urusan pentadbiran sekolah.
            Misalnya, apabila guru memarahi pelajar kerana sesuatu kesalahan, maka datanglah ibu bapa menyerang guru berkenaan. Ini bererti ibu bapa itu sendiri yang tidak mahu anaknya jadi baik, sebab ibu bapa itu sendiri sudah begitu sikapnya.  Jadi, kedua-dua perkara ini sama-sama menyumbang ke arah pendidikan yang tidak berkesan.  Jadi, guru harus mempunyai alternatif lain untuk mendidik anak-anak, di samping membuang sifat-sifat negatif serta peribadi yang tidak cocok dengan pendidikan Islam.  Hanya dengan ini sahajalah kita dapat memertabatkan kembali peranan guru sebagai pemimpin, pendidik, kaunselor, pendakwah dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment