Pada awal sesi 1998/1999, ramailah ibu bapa datang ke sekolah menghantar anak-anak yang baru masuk tahun satu. Di sebuah sekolah di daerah Ampang, pada suatu pagi seorang guru perempuan membaling buku murid kerana sesuatu kesalahan, dan buku yang dibaling itu hampir terkena seorang ibu lain yang juga menghantar anak ke kelas berkenaan. Kerana melihat sendiri peristiwa itu, ibu berkenaan terus membawa anaknya keluar dan membuat pertukaran sekolah di Pejabat Pendidikan Daerah.
Persoalannya ialah, apakah itu caranya mendidik anak yang baru masuk sekolah? Apakah teori yang dipakai oleh guru berkenaan? Teori Islamkah, Yahudikah atau hawa nafsu? Apakah dengan cara demikian budak kecil itu akan jadi baik atau sebaliknya? Apakah ini satu teori psikologi yang dipelajari di maktab dahulu?
Dalam kes lain dalam tahun 1999 guru hilangkan buku latihan murid dan memarahi murid kerana menulis dalam buku lain dan terus merotan murid itu (tahun 2) kerana kononnya menghilangkan buku tersebut, walaupun budak itu mengatakan buku ada pada cikgu. Selepas beberapa hari buku itu terjumpa semula di tempat guru berkenaan bersama sama dengan buku darjah lain.
Persoalannya: Apakah tindakan cikgu itu betul sebagai pendidik? Teori apa yang cikgu berkenaan ikut? Apakah dengan cara itu murid akan sayang kepada cikgu? Atau, selesaikah masalah itu dengan memukul murid?
Kalau mengikut teori Islam (lihat al-Zarnuji, al-Qabisi, Ibnu Shahnun dan al-Ghazali) kesalahan murid yang boleh dipukul ialah apabila murid itu melakukan kesalahan yang salah mengikut syariat Islam, seperi mencuri, merosakkan hartabenda sekolah dan sebagainya.
Dalam kes ini guru yang melakukan kesalahan dan guru itu yang pukul murid. Kalau mengikut teori barat sekali pun kesalahan itu tidak boleh dipukul sebaliknya diselidiki dan dinasihat. Tetapi inilah jenis guru yang ada dan mengajar anak-anak orang Islam hari ini.
Kes serupa ini berlaku juga di sekolah menengah dalam tahun 1999, di mana guru memerintakhan pelajarnya supaya menyalin semula nota yang telah ditulis di dalam buku tebal. Pelajar tidak mahu menyalinnya kerana bukan dia yang hilangkan buku itu, sebaliknya buku itu ada pada guru. Setelah dihukum pelajar ini, tiba-tiba buku itu terjumpa semula, ia ada dalam simpanan guru. Apakah kena dan adil tindakan guru itu? Adakah profesional tindakannya?
Guru memberi kerja rumah dan tak dapat siap sebab banyak dan banyak guru lain juga memberi kerja rumah. Apabila datang ke sekolah besoknya murid ini dipukul sebab tidak siap kerja rumah. Bayangkan guru yang belajar psikologi tetapi tidak tahu mengamalkan psikologi. Dan ini menyebabkan murid tidak mahu datang ke sekolah apabila kerjanya tidak siap.
Persoalannya: Apakah tindakan guru ini kena mengikut prinsip Islam. Jika guru mengambil tindakan tidak stabil dengan kesalahan yang dilakukan oleh murid apa pula hukumnya di sisi Allah? Inilah perkara Fardhu Ain yang patut dimengerti oleh para guru.
Satu yang lumrah bagi sekolah sekarang ialah budaya khutbah. Apabila ada sahaja perhimpunan, maka guru/guru besar/pengetua mengambil masa yang begitu lama untuk memberi khutbah. Pelajar berdiri di tengah panas, malah ada yang pengsan (di sebuah sekolah menengah) kerana lama berdiri.
Bukankah pengetua dan guru besar telah belajar di maktab dan universiti tentang aturcara mengajar. Mesti ada objektif dan isi. Tetapi apabila sampai masanya tidak digunakan teori yang dipelajari. Mengapa tidak diamalkan ilmu yang dipelajari. Bercakaplah apa yang perlu dengan ringkas dan padat. Tidak payahlah berkhutbah begitu lama yang menyebabkan pendengarnya bosan.
Pernah penulis berada di sekolah (rendah dan menengah) pada hari pertama persekolahan. Empat puluh minit guru besar berucap dalam perhimpunan yang terdiri daripada murid lama, murid baru dan ibu bapa. Kepada siap ucapan itu ditujukan? Ibubapakah, murid lamahkah, atau murid baru? Jika kepada murid baru, fahamkah anak-anak itu ucapan yang panjang lebar demikian? Jika murid lama, apa yang hendak disampaikan? Jika ibu bapa, adakah ibu bapa memberi tumpuan dalam keadaan yang bising dan hingar bangar itu?
Ini semua tidak perlu dan buang masa. Beri sahaja arahan kepada guru-guru dan masuk kelas. Tahulah guru itu apa yang hendak dilakukan. Dalam keadaan anak menangis, yang bercakap dan berbagai-bagai lagi siapakah yang mendegar khutbah?
Di awal tahun 2000, penulis hadis di majlis pendaftaran pelajar baru tingkatan satu di sebuah sekolah menengah. Waktu pendaftaran pelajar ialah jam 8.30 pagi. Apabila ibu bapa datang diberi dengan satu booklet mengenai peraturan sekolah. Ini baik dan patut dipuji. Kemudian semua dijemput masuk dalam dewan.
Dewan tidak dapat menampung semua yang hadir. Dengan demikian ramai yaaang berdiri di luar dewan. Kemudian seorang demi seorang guru naik ke pentas memberi taklimat, sehingga jam 10.00 pagi belum mendaftar. Ibu bapa yang berdiri di luar tidak mendengar isi ucpan, sebaliknya bercakap dan melahirkan rasa tidak setuju cara itu dan membuag masa. Kenapa jadi begini? Kerana tidak jelas objektif. Dengan demikian tindakan orang profesional tidak profesional namanya.
Penulis ialah bekas seorang guru. Jadi, dengan kejadian yang berlaku dewasa ini menyebabkan penulis merasa sedih kerana ia melibatkan profesion penulis sendiri dan kerja ini ialah kerja yang mulia dan banyak pahala. Jika dijalankan dengan baik, banyak pahala Allah sediakan. Sebaliknya, jika dijalankan dengan cara yang tidak kena menyebabkan semua pahala batal, malah dalam banyak hal mengundang dosa pula, kerana kita melakukan kesalahan terhadap makhluk.
Jadi, bersempena dengan hari guru tahun ini, marilah sama-sama kita para pendidik melakukan muhasabah. Kita lihat apa yang telah kita lakukan selama ini sama ada ia sesuai dengan Islam atau bertentangan. Jika ada yang sesuai, kita bersyukur. Jika ada yang bertentangan, kita Islahkan. Jika ada teguran, kita lihat. Jika ada kebenarannya kita ambil, jika tidak ada tinggalkan. Hanya dengan cara ini sahaja kita dapat mencapai kesejahteraan dunia dan akhirat. Siapa yang mengikut Islam, ia akan berjaya dan mendapat keredaan Allah. Siapa yang tidak ikut, ia mungkin berjaya di dunia, tetapi tiada keredaan Allah, manakala di akhirat belum tentu akan berjaya.
No comments:
Post a Comment